Segamat

Segamat merupakan daerah paling utara yang terletak di negeri Johor. Ia bersempadan dengan Negeri Sembilan di bahagian Utara manakala Pahang di bahagian Timur. Selain itu, Segamat juga bersempadan dengan 6 buah daerah yang lain iaitu Muar, Kluang, Tampin, Rompin, Batu Pahat dan ledang. Bandar Segamat merupakan bandar utama daerah ini.

seg2

Segamat merupakan daerah dimana sektor pertanian berkembang dengan pesat seperti kelapa sawit dan getah. Selain itu, Segamat juga terkenal dengan buah-buahan terutamanya durian. Sebagai tarikan pelancong, slogan baru telah diperkenalkan iaitu ‘Selamat Datang ke Segamat – Tanah Raja Buah-buahan’.

SEJARAH

Menurut seorang ahli sejarah tempatan, Cikgu Hassan (Allahyarham Tuan Haji Hassan bin Haji Muhammad),Segamat merupakan sebuah daerah paling tua di negeri Johor yang kaya dengan sejarah silamnya lalu ianya digelar “Daerah Lagenda”.

Antaranya ialah:

  • Segamat dikaitkan dengan kehebatan kerajaan Malim Dewa yang kononnya pada suatu masa dahulu pernah wujud di satu kawasan luas merintangi Kuala Muar hinggalah ke hulu daerah Segamat. Menurut cerita orang tua-tua,Putera kepada Raja Malim Dewa iaitu Raja Malim Deman pernah mencintai seorang Puteri yang bernama Puteri Santan Bertapis. Malangnya, Puteri itu telah dibawa lari oleh seorang Putera dari kayangan. Kegagalan untuk mencari Puteri tersebut telah menyebabkan baginda membuat satu sumpahan iaitu selagi Puteri yang dicintainya itu tidak ditemuinya maka daerah Segamat akan dilanda banjir. Dengan demikian, daerah ini telah dikenali sebagai “Daerah Sumpahan Malim Deman”.
  • sekitar tahun 1511, Bendahara terakhir Melaka, Bendahara Tepok dan para pengikutnya berundur ke Johor setelah kejatuhan Melaka ke tangan tentera Portugis. BendaharaTepok yang uzur dan para pengikutnya berhenti berehat di satu lubuk sungai di kawasan tersebut dan mandi di sungai tersebut untuk menyegarkan diri. Setelah mandi, beliau berkata, “Segar amat badanku ini!”, dan seterusnya menamakan sungai tersebut sebagai Segar Amat, yang kemudian berubah menjadi Segamat.

MITOS

Segamat mempunyai sebuah cerita mitos iaitu terdapat seekor naga besar yang tidur dibawah tanah di Kampung Berata sehingga Kampung Gemereh. Menurut cerita YM Drs.Ungku Zaman Mohd Tahir,punca daerah Segamat banjir kononnya berpunca dari Naga Besar yang bergerak dari tempat tidur asalnya yang menyebabkan Segamat mengalami banjir besar.

PENGANGKUTAN

  • Kereta – Lebuhraya Utara-Selatan, boleh susur keluar melalui Simpang Ampat dan Yong Peng
  • Kereta Api – Perkhidmatan KTM di Stesen Kereta Api Segamat dan Labis.
  • Bas – Terminal Bas Segamat

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI SEGAMAT

Antaranya ialah:

1. DATARAN SEGAMAT

seg

Dataran Segamat telah dibina pada tahun 1996 sebagai tempat utama berlangsungnya sambutan Hari Kebangsaan peringkat daerah Segamat dan peringkat negeri Johor. Sebelum diubahsuai dan diberi nama sebagai Dataran Segamat, tempat ini dahulunya dikenali sebagai Padang Besar Segamat. Menara Jam, Replika Durian dan Menara Bendera juga di letakkan bersebelahan sebagai tarikan dan mercu tanda utama bandar Segamat yang memberi makna Segamat adalah daerah Tanah Raja Buah-buahan

2. TAMAN BUNGA BATU HAMPAR

seg3

Taman Bunga Batu Hampar adalah satu-satunya taman rekreasi di tengah bandar Segamat. Di sini juga menempatkan kediaman rasmi Pegawai Daerah Segamat ,Rumah VIP dan Istana Hinggap khas untuk kerabat diraja Johor.Taman Bunga Batu Hampar merupakan tempat yang paling cantik dan sesuai untuk beriadah di daerah Segamat.

3.MAKAM BENDAHARA TERAKHIR

seg4

Makam Bendahara terakhir Kesultanan Melayu Melaka terletak di Kampung Lubuk Batu, kira-kira 2 kilometer dari Pusat Bandar Segamat melalui jalan raya persekutuan dan bertentangan dengan Masjid Makam Lubuk Batu.

4. AIR TERJUN SUNGAI BANTANG

seg6

seg5

Hutan lipur ini mula ditubuhkan pada tahun 1989 dan dimajukan dengan pesatnya pada tahun 1990. Kawasan ini terletak di dalam Hutan Simpan Labis. Jarak antara Air terjun Sungai Bantang dengan bandar Segamat iaitu lebih kurang 64 km. Tema “Destinasi Rekreasi Luar Anda” telah di perkenalkan oleh Jabatan Hutan Daerah Segamat bagi tujuan perkhemahan dan perkelahan.Pelbagai aktiviti dapat dijalankan antaranya merentas hutan ‘jungle trekking’, perkhemahan dan perkelahan.

5. BAZAAR KARAT

Pada waktu malam,Segamat terkenal dengan Bazaar Karat iaitu sebuah kawasan sepanjang jalan Dataran yang penuh dengan bermacam-macam jenis gerai jualan. Bazaar Karat dibuka pada hari Jumaat,Sabtu dan Ahad sehingga 1 pagi. Bazaar Karat telah menjadi tumpuan utama penduduk Segamat untuk berjalan-jalan dan membeli belah pada waktu malam.

6. JAMBATAN PUTUS, BULOH KASAP

seg7

seg8

Jambatan ini dibina oleh tentera British untuk pembinaan Persekutuan Route 1.Namun tentera British telah menghancurkan sebahagian jambatan ini untuk menghalang kemaraan tentera Jepun untuk menuju ke Singapura. Setelah perang berakhir Jambatan Buloh Kasap yang baru telah dibina betul-betul disebelah Jambatan Putus Buloh Kasap.

7. PUSAT REKREASI KOLAM AIR PANAS, TENANG

Kolam Air Panas Labis di Kg Tenang hanya 10 km dari pekan Labis dan 42 km dari Bandar Segamat. Terdapat 4 kolam besar air panas yang dibina di situ. Ia dipam dari kolam air panas semula jadi yang terletak di tengah-tengah 4 kolam tersebut. Kolamnya cetek. Airnya yang panas pasti dapat menyegarkan badan. Kemudahan tandas dan bilik mandi disediakan untuk para pengunjung di samping taman permainan kanak-kanak, peralatan bersenam dan tapak berjalan kaki. Kedudukannya yang terperosok di sisi Kg Tenang memungkinkan wujudnya persekitaran yang tenang dan santai.

TEMPAT MAKAN MENARIK DI SEGAMAT

  • Warung Daud – Warung Daud ini telah dibuka sejak 1979. Terletak di Jalan Hassan, bersebelahan lampu isyarat Jalan Pemuda/Kampung Tengah. Dbuka untuk makan pagi, tengah hari dan malam.  Terkenal dengan keenakan masakannya disamping harga yang murah.
  • Restoran RZ Caterer – Restoran ini terletak di Segamat Baru berhampiran dengan Nagoya. Terkenal dengan keenakan masakan Melayu.
  • Brother’s Place – Terletak di pekan Segamat, berhampiran dengan jalan menuju ke mahkamah dan perpustakaan, Brother’s Place menyediakan makanan tempatan dan barat. Selain keenakan makanan, Brother’s Place juga menawarkan keindahan dekorasi dalaman restoran ini serta keindahan pemandangan dari Bukit Siput.
  • Restoran Nasi Ayam Mustafah Segamat – Restoran milik seorang Cina Muslim ini terletak di belakang bangunan pasaraya Giant. Terkenal dengan keenakan nasi ayamnya, restoran ini juga memberikan servis yang bagus di mana anda akan mendapat makanan yang dipesan dalam temph masa 5 minit.

Leave a comment